Maizura Mokhsein, 23, turut melakar sejarah sebagai rakyat Malaysia untuk menerima penghormatan itu pada kejohanan paling berprestij berkenaan.
Beliau menewaskan 360 peserta lain dari universiti di seluruh Asia dalam kejohanan selama sembilan hari dari 25 Mei hingga 2 Jun di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) di negara republik itu.
“Saya rasa begitu gembira, dan lebih gembira apabila melihat wajah rakan-rakan yang gembira apabila saya menerima trofi berkenaan.
“Melihat saingan dan orang ramai yang datang dan mengucapkan tahniah adalah bahagian paling menyeronokkan,” katanya dalam laporan The Star.
Kejohanan debat UADC merupakan pertandingan debat berprestij dan dijalankan mengikut format Parlimen Asia, di mana pasukan dengan tiga ahli bertemu dalam pertandingan.
Ia juga menyediakan sistem rangking kepada para pendebat di seluruh benua Asia.
Dalam kejohanan edisi kelima tahun ini, sebanyak 120 pasukan menyertainya. Maizura merekodkan markah tertinggi pada semua lapan pusingan kelayakan.
Selain itu, beliau telah memiliki 13 trofi peringkat kebangsaan dalam tempoh enam tahun menyertai debat.
Sementara Maizura menjuarai gelaran itu, pasukan mereka UiTM gagal melakar sejarah selepas ditewaskan oleh pasukan senegara dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada peringkat separuh akhir.
Selain UiTM pasukan UIAM turut mencipta sejarah untuk Malaysia apabila layak ke pertandingan akhir pertandingan itu, dan mereka merupakan pasukan dari Malaysia pertama sampai ke tahap itu.
Bagaimanapun, mereka tewas kepada NTU.
Pasukan debat UIAM diwakili tiga pendebat iaitu pelajar Undang-Undang tahun tiga Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 22, pelajar tahun dua Ekonomi, Mubarrat Wassey, 23, dan pelajar tahun dua Undang-Undang Almeera Natasha Moore, 21.