Akhirnya kes perkelahian antara Dewi Persik dan Julia Perez, berakhir. Setelah melalui proses perbicaraan, Dewi Persik atau lebih dikenali sebagai Depe, dijatuhkan hukuman dua bulan penjara dengan masa percubaan selama empat bulan. Keputusan itu dibuat di Mahkamah Negeri di Jakarta Timur, semalam.
Dewi Persik menangis sebaik saja mendengar keputusan mahkamah. Dia terkejut dan seolah-olah tidak dapat menerima keputusan itu.
Dewi Persik atau nama sebenarnya, Dewi Murya Agung didapati bersalah menganiaya Julia Perez. Kesalahannya itu melanggar Fasal 352, Ayat 1 mengenai pengianiayaan. Hukuman yang dijatuhkan itu lebih ringan berbanding dengan tuntutan pendakwa raya.
Sebelum ini, bekas isteri Saipul Jamil ini diminta dikenakan hukuman enam bulan penjara. Dalam tempoh empat bulan itu, Dewi Persik perlu berkelakuan baik dan sekiranya dia melanggar undang-undang, dia akan disumbat dalam penjara.