Zulaikha Adam diarahkan keluar dari dewan peperiksaan untuk menanggalkan purdah ketika dia sedang sibuk menjawab soalan peperiksaan.
Zulaikha mempertikaikan kenapa tiada notis di pintu masuk yang mengatakan “NO Niqab” atau amaran lisan sebelum dia masuk ke dewan peperiksaan.
Zulaikha turut mempersoalkan mengapa pelajar-pelajar lain yang berpakaian seksi tidak dikenakan sebarang tindakan oleh pihak UM.
ISU PURDAH : HEWI PMIUM KECAM TINDAKAN “DOUBLE-STANDARD”Semalam, seorang siswi daripada Akademi Pengajian Melayu telah diarahkan keluar daripada dewan peperiksaan ketika peperiksaan berlangsung, untuk menanggalkan purdah yang dipakainya.
Pihak Hewi PMIUM melihat tindakan daripada seksyen Peperiksaan ini telah menafikan hak beliau untuk mengamalkan hak dalam beragama serta telah mengaibkan peribadi siswi tersebut. Jika pemakaian purdah dilarang dengan alasan undang-undang UM tidak membenarkan, mengapakah larangan berkenaan hal ini tidak pernah dinyatakan secara jelas serta penguatkuasaan berkenaan larangan ini tidak juga dimaklumkan kepada mahasiswa UM sendiri?
Pihak seksyen peperiksaan juga dianggap mengenakan tindakan berbentuk “double-standard”, apabila hanya siswi tersebut yang dikenakan tindakan sedemikian (diminta keluar dari dewan peperiksaan untuk membuka purdah), sedangkan rata-rata siswi lain yang juga berpurdah tidak pula dikenakan tindakan yang sama jika ia benar-benar melanggar peraturan universiti. Lebih menghairankan, lebih ramai mahasiswa yang berpakaian mencolok mata di dalam kampus serta terang-terangan melanggar peraturan pemakaian pelajar tidak pula dikenakan tindakan tatatertib oleh pihak berwajib.
Pihak Hewi PMIUM menuntut agar pihak pentadbiran UM dapat menjelaskan kepada mahasiswa berkenaan isu pemakaian purdah di dalam kampus. Jika benar ia dilarang, di mana hitam putihnya dan apakah justifikasi larangannya? Kami juga menuntut agar penguatkuasaan dan tindakan tegas dikenakan kepada mahasiswa yang menyalahi etika berpakaian di dalam kampus seperti yang termaktub di dalam peraturan universiti
(rujuk: http://hep.um.edu.my/?modul=Life_On_Campus).
Sobiroh Puzi
Pengerusi Hewi Pmium
Timb. Presiden Pmium