Setiausaha Dewan Negara Perak Datuk Ayop Hashim berkata berkuat kuasa hari ini juga, balu almarhum Sultan Azlan Shah diperkenan gelaran Raja Permaisuri Tuanku Bainun.
Mesyuarat Dewan Negara Perak ke-159 yang bersidang di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar turut memutuskan Raja Di-Hilir Perak Raja Datuk Seri Jaafar Raja Muda Musa dinaikkan ke pangkat gelaran Raja Muda Perak berkuat kuasa hari ini, katanya dalam kenyataan di sini, Jumaat.
“Berkuat kuasa hari ini juga, Raja Kechil Besar Perak Raja Datuk Seri Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dinaikkan ke pangkat gelaran Raja Di-Hilir Perak.
“Mesyuarat itu turut memutuskan Raja Azlan Muzaffar Shah Sultan Nazrin Shah dikurnia pangkat gelaran Raja Kechil Besar Perak berkuat kuasa hari ini,” katanya.
Ayop berkata mesyuarat itu memutuskan tarikh sambutan rasmi Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Perak ditetapkan pada 27 November.
Sambutan pertama ulang tahun hari keputeraan baginda akan dimulakan pada 2015.