Sharifah Noor Syed Ahmad Al- Attas, 80, berkata, anggukan itu cukup bermakna kerana Sharifah Aini memberi tindak balas sebagai tanda menyayanginya.
Ini kerana sejak dia datang melawat pada petang Selasa lalu, anaknya itu berada di dalam koma.
Jelasnya, pertama kali melihat anaknya di hospital, hatinya diruntun pilu dan sedih dengan keadaan Sharifah Ani.
“Saya reda dengan pemergian Sharifah Aini. Tapi sayang dia masih muda.
“Patutnya saya yang berumur 80 tahun ini yang pergi dulu. Namun Allah SWT lebih menyayangi dan menjemput arwah dahulu,” katanya yang datang dari Singapura bersama suami, Musa Baba, 78.
Sharifah Noor berkata, kali terakhir dia berjumpa dengan anaknya dua bulan lalu namun kerap berhubung apabila Sharifah Aini berkunjung ke negara jiran itu.
“Bila ada persembahan di Singapura, dia akan telefon suruh datang tengok. Tiket pun dah siap belikan,” katanya penuh tenang.
Sementara itu, bekas suami allahyarham, Ali Bakar yang ditemui berkata, selepas berpisah dengan Sharifah Aini, mereka hanya berhubung menerusi anak tunggal, Alif Omar.
Namun dia menyifatkan bekas isterinya sebagai seorang yang sangat pemurah kerana banyak membuat kerja kebajikan.
Dia juga bersyukur apabila Alif yang baru pulang dari Madinah sebulan lalu dapat menjaga ibunya ketika sakit.
Awal pagi tadi, industri kehilangan sebutir bintang apabila Sharifah Aini meninggal dunia di Pusat Perubatan Pakar Damansara.
Allahyarham yang menyambut ulan tahun ke-61 pada Rabu lalu menghembuskan nafas terakhirnya pukul 1.26 pagi akibat jangkitan fibrosis pada paru-paru.
Jenazah dibawa ke Masjid At Taqwa Taman Tun Dr Ismail pukul 9 pagi ini dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara sebelum solat Zohor.
Allahyarham meninggalkan seorang anak, Aliff Omar hasil perkahwinan dengan Ali Bakar pada 1981.
Allahyarham telah dimasukkan ke unit rawatan rapi di Pusat Perubatan Pakar Damansara pada Selasa pagi akibat kesukaran bernafas .
Biduanita itu dikesan menghidap fibrosis paru-paru dua tahun lalu.