Menurut sepupu Wan Amran yang hanya mahu dikenali sebagai Yati, 46, mesej tersebut dihantar kepada isteri Wan Amran melalui aplikasi Whatsapp.
“Isteri Wan Amran mengetahui nahas tersebut selepas menerima pnggilan daripada seorang wartawan. Dia amat terkejut dan terus membuka televisyen untuk mengetahui kejadian,” katanya ketika ditemui di perkarangan Anjung Tinjau, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini semalam.
Menurut Yati lagi, kali terakhir dia bertemu dengan Wan Amran pada minggu lepas ketika sama-sama bercuti di kampung dekat Kampung Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar, Perak.
Ujarnya, Wan Amran yang merupakan anak ketujuh daripada sepuluh beradik itu disifatkan sebagai seorang yang sangat baik dan suka berjenaka.
“Wan Amran memang baik dan suka berjenaka.. sejak dia kematian ibu bapa lama dulu memang dia rapat dengan kami. Kami dah jadi keluarga dia.
“Sikap Wan Amran yang baik dan suka berjenaka menyenangkan kami.. masa kami jumpa di kampung minggu lepas dia ada pesan supaya menyekolahkan anak saya pergi belajar di sekolah agama,” katanya.
Wan Amran merupakan meninggalkan seorang isteri dan dua anak lelaki iaitu Wan Yunus, 10, dan Wan Irfan, 8.
Wan Amran dikatakan gemar makan laksa yang dibuat Yati.
“Wan Amran gemar laksa yang saya masak. Setiap kali berkunjung ke rumah saya memang dia akan makan laksa termasuk di pagi raya,” katanya.