Kerajaan mengisytiharkan tarikh 22 Ogos ini sebagai Hari Berkabung Negara ekoran tragedi yang menimpa pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 pada 17 Julai lalu di wilayah Donetsk, timur Ukraine.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pada hari tersebut kerajaan turut menerima 16 daripada 24 jenazah MH17 warga Malaysia termasuk satu jenazah rakyat Belanda yang diterbangkan khas dari Amsterdam ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Beliau berkata, sebaik sahaja tiba di KLIA, setiap jenazah yang telah dikenal pasti itu akan disambut dengan penuh penghormatan serta istiadat, dikendalikan oleh bahagian istiadat pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kompleks Bunga Raya di lapangan terbang tersebut.
“Dijadualkan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah serta Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah akan berangkat pada istiadat tersebut. Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, jemaah menteri dan menteri-menteri besar.