Tanda-tanya mengenai kehilangan seorang lelaki yang tidak pulang selepas keluar rumah sejak Rabu lalu terjawab apabila dia ditemui mati dibunuh sebelum mayatnya dibuang di dalam bekas lombong berhampiran Kawasan Industri Bemban di Batu Gajah kelmarin.
Mayat K. Murugan, 37, ditemui terapung di dalam bekas lombong berkenaan pada pukul 5 petang oleh seorang penggembala lembu yang sedang menghalau ternakannya pulang ke kandang berhampiran.
Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif berkata, mangsa pergi ke kawasan lombong tersebut selepas tercium bau busuk.
“Mangsa kemudian terkejut apabila menemui satu mayat dengan tangan dan kakinya diikat sebelum melaporkannya kepada polis.
“Siasatan mendapati mangsa dikenali sebagai K. Murugan, 37, yang dilaporkan hilang sejak keluar dari rumahnya di Bidor dekat sini pada pukul 11.30 malam Rabu lalu,” katanya.
Tambahnya, identiti mangsa dicam oleh ahli keluarganya melalui satu ukiran tatu yang terdapat pada badannya.