Kelantan mara ke pusingan kedua Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) selepas menewaskan kelab Myanmar, Ayeyawady United 1-0 di Stadium Sultan Mohammed IV di Kota Bharu, semalam.
Kelantan terpaksa menunggu sehingga babak kedua untuk memecah kebuntuan gol menerusi jaringan Nwoha Onyekachi pada minit ke-47.
Jaringan tunggal perlawanan tersebut berpunca daripada rembatan Mohamad Ghaddar yang gagal ditangkap kemas penjaga gol Ayeyawady, Thia Si Thu, sebelum berjaya disudahkan Nwoha dalam keadaan kelam-kabut di hadapan pintu gol pasukan pelawat.
Kemenangan semalam membolehkan Kelantan mengekalkan kedudukan tangga teratas Kumpulan H dengan 13 mata, sekali gus layak ke pusingan kedua.
Ayeyawady pula di tangga ketiga dengan tujuh mata selepas dua kemenangan, satu seri dan tiga kekalahan.
Pada perlawanan semalam, Kelantan sepatutnya mampu mencatat kemenangan lebih besar, namun deretan peluang yang terhidang gagal disempurnakan oleh barisan depan skuad Red Warriors.
Saksiskan video gol Kelantan vs Ayeyawady di bawah.