Sebuah kamera Leica model 1923 yang sukar didapati lagi ketika ini, dilelong pada harga 2.16 juta euro (RM8.57 juta) di Vienna, hujung minggu lalu.
Ini menjadikan ia kamera termahal pernah dijual.
Seorang pembeli yang tidak dikenali membuat bidaan untuk mendapatkan kamera buatan Jerman itu yang masih berfungsi dan merupakan satu antara lima versi ujian Leica 0-Series yang dikeluarkan pada 1923, dua tahun sebelum siri itu dikeluarkan.
Hanya beberapa kamera jenis itu masih tersimpan dalam keadaan baik.
Harga itu adalah tujuh kali lebih tinggi daripada harga pembukaannya iaitu 300,000 (RM1.2 juta). Syarikat yang melelongnya juga tidak menamakan pemilik asalnya.