Sejak hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor Sabtu lepas, kelibat para pemimpin DAP masih tidak kelihatan baik dari Penasihat DAP Lim Kit Siang mahupun anaknya, Setiausaha Agung Lim Guan Eng.
Menjelaskan perkara itu, Pengarah Jentera Operasi PAS PRK DUN N01 Pengkalan Kubor, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata Kit Siang sebelum ini pernah bertanyakan kepada PAS berapa bilangan pengundi cina di DUN berkenaan.
Menurut beliau, pengundi cina hanya berjumlah sekitar 100 lebih orang dan di atas sebab itu berkemungkinan Kit Siang enggan hadir di Pengkalan Kubor di Tumpat membantu kempen PAS dalam Pakatan Rakyat (PR).
“Kebetulan, Lim Kit Siang dia baru balik daripada China, lepas tu dia pun.. Dia nak mari.. Pada hari penamaan calon itu, cuma orang tempatan sahaja yang hadir.
Dia kata sebab Cina di sini tak ramai, dia tanya berapa orang Cina di sini? kita tak boleh jawab… Cina dalam 100 orang, dia bimbang takut sensitiviti, hadir dia itu takut mengocak (mengeruhkan) suasana,” katanya.
Mudah katanya, ramailah dari penyokong PAS tidak menyukai DAP kerana atas dasar pengundi Cina yang sedikit Kit Siang enggan hadir, apatah lagi Guan Eng.
Perkataan yang digunakan oleh Wan Abdul Rahim iaitu mengeruhkan suasana menunjukkan ada rakyat dalam kumpulan tertentu tidak menyukai Kit Siang.
Mengapakah, jika sudah dalam PR sepatutnya kesemua pemimpin dalam PR hadir dan membantu PAS dalam menghadapi PRK ini.
Menurut Wan Abdul Rahim, pada PRK Pengkalan Kubor jentera PR hanya terdiri daripada PAS dan PKR sahaja tanpa kehadiran DAP.
Jika di Barisan Nasional (BN), biarpun di kawasan pengundi Cina jumlahnya teramat sedikit kesemua pemimpin parti komponen dalam BN akan hadir tidak kira dari MCA atau MIC bagi menyuarakan sokongan mereka.
Ada kemungkinan juga perang poster di Kelantan, PR tidak akan meletakkan lambang DAP kerana isu sensitiviti tadi seperti yang diungkapkan oleh PAS.