Identiti kanak-kanak Malaysia berusia 8 tahun yang maut selepas terpelanting daripada permainan berputar di Royal Adelaide Show, Australia, Jumaat lalu telah dikenalpasti sebagai Adelene Leong.
Polis Australia Selatan menyiarkan gambar Adelene yang dipilih oleh ibunya di laman Facebook dan meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan dengan permainan itu tampil untuk membantu siasatan.
“Kami berharap untuk mendapatkan maklumat daripada sesiapa yang ada mengambil gambar atau rakaman video permainan Airmaxx 360 – sewaktu sedang bergerak di Showgrounds pada Jumaat,” kata Ketua Inspektor Selena Dinning dari Sturt Local Service Area.
“Kami juga berharap untuk mendapatkan maklumat daripada mereka yang berada di kawasan kejadian ketika berlaku insiden tragis ini atau sesiapa yang mengalami apa-apa perkara luar biasa sewaktu menaiki permainan itu.”
Polis juga mendapati permainan itu mempunyai syarat had minimum yang diperlukan iaitu 120cm – di mana Adelene melepasi had ketinggian itu.
“Permainan itu telah disita oleh Agensi Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan Australia Selatan (SafeWork SA) dan ia kekal dalam keadaan sedia ada buat ketika ini,” beliau menambah.
“Polis juga masih meneruskan penyiasatan dengan kerjasama SafeWork SA untuk menyiasat penuh punca kejadian tragis itu dan sedang menyediakan laporan untuk pihak koroner”.
Adelene, dilaporkan melawat Australia bersama keluarganya, tercampak dari permainan AirMaxx 360 yang mempunyai ukuran 15 meter panjang dan 18 meter lebar dan mampu membawa 24 orang pada satu-satu masa.
Polis memberitahu mangsa kemudian dirawat oleh paramedik dan dibawa ke Hospital Adelaide tetapi meninggal dunia tidak lama kemudian.
Royal Adelaide Show menarik kira-kira setengah juta pengunjung setiap tahun dan ia merupakan acara tahunan terbesar di Australia Selatan. Ia menyediakan pelbagai permainan hiburan dan juga pertunjukan haiwan.