Tiga pekerja kilang sawit Felcra Bukit Kepah, Hulu Terengganu, maut manakala empat rakan mereka cedera, termasuk seorang kritikal selepas mesin pengukus buah sawit meletup, dalam kejadian kira-kira 7.50 petang semalam.
Mangsa yang terbunuh adalah penyelia kilang berkenaan, Azmi Abdullah, 47, dari Kampung Padang Tengir, Manir, Kuala Terengganu, manakala dua lagi adalah pekerja warga Nepal.
Kedua-dua pekerja warga Nepal berkenaan dikenali sebagai Pramod Kumar Ray, 30, dan Sanjib Kumar Pasman, 26.
Mereka yang cedera adalah Ahmmed Ali, 39, dan Reyuwan Morom Ali, 45, masing-masing dari Bangladesh dan seorang warga Nepal, Sabad Yadav, 44.
Seorang lagi pekerja, Mohd Razlan Mokhtar, 25, dari Kampung Felcra Bukit Kepah, melecur kira-kira 80 peratus dan kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.
Ketua Polis Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Ismail Muslim berkata, kejadian berlaku ketika kesemua mereka sedang bekerja dan tiba-tiba pengukus itu meletup sehingga menyebabkan percikan api.
“Percikan api kemudian menyambar timbunan buah kelapa sawit yang ada atas gerabak dekat mesin berkenaan. Buah kepala sawit itu kemudian bertaburan sehingga menyebabkan dua mangsa tertimbus.
“Penyelia itu pula dikatakan maut dihempap mesin pengukus yang terbang kira-kira 30 meter dari kedudukan asalnya. Letupan berkenaan menyebabkan tiang dan bumbung di kawasan mereka bekerja hampir runtuh,” katanya.
Menurutnya, punca mesin pengukus itu meletup masih dalam siasatan.