Anak bekas Timbalan Perdana Menteri Mohd Tamrin Abdul Ghafar hari ini menghantar surat kepada Setiausaha Agung PAS menarik diri dari menjadi ahli parti Islam itu, lapor The Malaysian Insider.
Tamrin berkata beliau tidak lagi menganggotai PAS berkuatkuasa hari ini.
“Adalah diharapkan pihak Yang Berbahagia Datuk dapat mengemaskinikan rekod keahlian saya berkaitan keputusan ini,” kata Tamrin.
Ibu pejabat PAS mengesahkan penerimaan surat bertajuk “Menarik diri sebagai ahli PAS” daripada Tamrin itu.
Dua tahun lepas, pada 11 Ogos 2012, Tamrin menyerahkan borang keahlian sebagai ahli PAS kepada presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada majlis peringatan Badar Al Kubra di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad, Gombak.
Menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 tahun lalu, beliau turut sama dilihat membantu kempen PAS dan Pakatan Rakyat (PR).
Tamrin dilaporkan mula tidak senang dengan PAS sejak kemelut pelantikan menteri besar Selangor yang menyaksikan pertembungan antara parti itu dengan rakannya dalam PR.