Juara Da’i musim kedua menjadi milik Nik Ahmad Farhan Nik Mohamad, 24, pada pentas akhir program pencarian pendakwah melinia yang berlangsung di Sri Pentas 2, Shah Alam malam tadi.
Menerusi kemenangan itu, juara membawa pulang hadiah bernilai RM100,000.
Pada pentas akhir ini, dua lagi finalis berentap iaitu Ammar Ismail, 25, dan Ahmad Izzhar Ahmad Nadzri, 22.
Nik Ahmad berkata, dia menangisi kemenangan itu kerana terlalu bersyukur.
“Saya menangis kerana teringatkan Rasulullah SAW yang pernah dibaling batu ketika berjuang menegakkan syiar agama Islam.
“Namun dalam keadaan saya sekarang kerana dakwah agama itu berjaya membawa saya sehingga bergelar juara dan memenangi hadiah lumayan malam ini,” katanya.
Farhan berkata, dia berdoa dan berharap supaya rezeki diperoleh itu dapat dikongsi bersama dan segala usaha dakwahnya terus diberkati.
Pada malam kemuncak itu, Nik Ahmad Farhan meraih keseluruhan 193 markah sekali gus menewaskan pencabar terdekatnya, Ammar.