Kira-kira tiga minggu sahaja lagi pelakon Fasha Sandha bakal melahirkan bayi keduanya.
Sehubungan itu, Fasha sudah pun memilih dan menyenaraikan beberapa nama bayi perempuan untuk anak yang bakal lahir itu.
Fasha atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha Hassan, 30, berkata, nama-nama yang dipilih itu akan bermula dengan Puteri diikuti nama kedua daripada huruf ‘R’.
“Setakat ini kami telah pilih beberapa nama yang sesuai untuk bayi yang akan lahir ini. Bagaimanapun permulaan nama anak saya itu mestilah Putri dan nama kedua pula menggunakan huruf ‘R’. Tetapi saya tidak bolehlah nak beritahu sekarang. Tak ‘surprise’ lah nanti,” katanya seperti yang dilaporkan mStar Online.
Fasha ditemui pada majlis pra tonton drama Selamat Pengantin Madu bersama aktres Eina Azman dan peminat-peminat mereka dia Restoran Daun, Plaza Damas, pada malam Khamis.
Fasha mendirikan rumah tangga dengan Rizal Ashram Ramli atau Jejai pada 27 April 2012. Hasil perkahwinan itu mereka mempunyai seorang anak lelaki, Putera Rayfal Ramli yang kini berusia setahun.
Sementara itu, Fasha berkata, biarpun bakal melahirkan anak pada bila-bila masa, dia masih lagi menerima tawaran lakonan.
“Alhamdulillah, rezeki saya tidak pernah putus dan masih lagi menerima tawaran lakonan. Terbaru, ada tawaran berlakon di mana penggambarannya pada Januari tahun depan.
“Tetapi saya tidak mengesahkan apa-apa lagi. Tengok dulu macam mana, sekiranya badan saya sudah kembali kurus, baru saya akan terima,” ujarnya.
Fasha dan Eina Azman dalam majlis menonton drama Selamat Pengantin Madu bersama peminat.
Mengenai majlis menonton Selamat Pengantin Madu bersama peminat Fasha berkata, dia difahamkan oleh pihak stesen televisyen yang menyiarkan drama tersebut iaitu TV3, karya berkenaan mendapat rating tertinggi.
Justeru Fasha dan Eina yang turut terlibat dalam drama berkenaan diminta mengadakan sesi menonton bersama peminat sebagai menghargai sokongan yang diberikan terhadap mereka.
“Majlis ini adalah untuk khas peminat-peminat kami, tambahan pula saya pun dah lama tak buat majlis seperti ini. Saya harap menerusi majlis seperti ini juga dapat mengeratkan hubungan antara artis dan peminat juga,” ujarnya.