Mayat seorang lelaki dipercayai mati dibunuh ditemui di Sungai Timun dekat sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Ibrahim Sharif, berkata mayat itu ditemui terapung di sungai itu oleh orang awam pada jam 5.30 petang dan terus menghubungi pihak polis.
Beliau berkata, pemeriksaan polis mendapati mayat itu disumbat ke dalam guni plastik berwarna putih menutupi kepala sehingga lutut manakala kakinya diikat serta dibiarkan terjulur keluar.
Katanya, mayat itu turut diikat menggunakan wayar berwarna hijau bersama-sama dengan sebuah motosikal jenis Yamaha LC 135 berwarna hitam tanpa nombor pendaftaran.
“Setakat ini kita masih tidak dapat mengenal pasti identiti mangsa kerana tiada pengenalan diri dijumpai bersama-samanya. Polis masih menyiasat punca serta motif pembunuhan itu,” katanya di sini, hari ini.
Ibrahim berkata, berdasarkan keadaan mayat yang sedang dalam proses pereputan, mangsa berkemungkinan mati dalam tempoh kurang seminggu.
Katanya, polis terpaksa berjalan hampir lima kilometer dari jalan utama dengan melalui sebuah kebun ternakan untuk sampai ke lokasi mayat dijumpai.
“Mayat mangsa berjaya diangkat dan dikeluarkan ke jalan utama dengan bantuan pihak bomba dan dihantar ke Hospital Tampin untuk bedah siasat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta mereka yang kehilangan saudara dan anggota keluarga supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Rembau di talian 06-6851222 atau balai polis berhampiran.