Pembantu juruterbang Germanwings, yang dipercayai dengan sengaja menyebabkan pesawat kendaliannya terhempas di banjaran Alps Perancis, dilapor berulang kali meminta kapten pesawat malang tersebut meninggalkannya sendirian di dalam kokpit.
Transkrip penuh perakam suara daripada kotak hitam (CVR) pesawat A320 Penerbangan 9525 yang ditemui itu mendedahkan buat kali pertama tindakan terancang Andreas Lubitz yang menyebabkan kematian 150 penumpang dan kru.
Menurut laporan akhbar Jerman Bild edisi Ahad sepertimana dipetik The Independent, Lubitz dikatakan meminta Kapten Patrick Sondheimer agar ke tandas pada 20 minit pertama penerbangan dari Barcelona ke Dusseldorf.
Apabila Sondheimer akhirnya beredar meninggalkan kokpit, Lubitz mengunci pintu secara manual dan mengubah sistem autopilot untuk turun ke paras 100 kaki dari paras asal 38,000 kaki.
Ketika pesawat sedang mendaki, rakaman suara mendedahkan Lubitz cuba memujuk Sondheimer agar ke tandas kerana “dia tidak sempat berbuat demikian ketika transit di Barcelona,” menurut laporan Bild pada Ahad.
Ketika pesawat mencapai ketinggian ditetapkan pada jam 10.27 pagi, Sondheimer dilapor memberitahu Lubitz untuk melakukan persediaan mendarat di Dusseldorf – di mana Lubitz menjawab ringkas “tengoklah.”
Selepas melakukan pemeriksaan prosedur untuk mendarat, Lubitz dilapor berkata kepada Sondheimer: “Awak bolehlah pergi ke tandas sekarang.”
Dua minit kemudian, Kapten Sondheimer beredar meninggalkan kokpit buat kali terakhir, sambil berkata kepada Lubitz: “Awak boleh ambil alih.”