Gambar binaan kubur Allahyarhan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dipasang binaan pagar bertutup yang telah tersebar luas di media sosial dibina oleh individu penduduk kampung dan murid bekas Menteri Besar Kelantan berkenaan.
Ahli Parlimen PAS Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, penyebaran gambar berkenaan telah menimbulkan persoalan ramai dan ia dibina tanpa pengetahuan pihak beliau sekeluarga.
Menurutnya, tujuan pemasangan pagar bertutup tersebut adalah baik untuk mengelak beberapa perbuatan bidaah yang bertentangan ajaran Islam oleh beberapa individu ‘jahil dan rosak hati’ yang datang dari luar seperti mengambil tanah untuk tujuan ‘berkat’ yang hakikatnya adalah ‘sesat’.
“Bagaimanapun pihak keluarga tidak setuju dengan binaan tersebut dan kami sepakat bahawa ia diletakkan dengan status ‘sementara’ atas maslahat di atas.
“Ia akan dipindahkan dalam tempoh terdekat, Insya-Allah,” katanya dalam posting Facebooknya hari ini.
Tambah anak kepada bekas Mursyidul Am PAS itu lagi, kubur ayahnya itu akan kekal dengan sunnah nabawiyah iaitu tanpa binaan selain batu nisan.
“Mohon maaf dan terima kasih atas prihatin semua,” ujarnya.