Pengurus Manchester United, Sri Alex Ferguson kecewa dengan prestasi pasukan itu, khususnya Robin van Persie, yang dibeli minggu lalu.
Everton menewaskan kelab gergasi itu 1-0 dalam perlawanan sulung musim 2012/13 awal pagi tadi (waktu Malaysia).
Van Persie, bekas pemain kelab Arsenal, yang menandatangani kontrak RM75.31 juta, beraksi sebagai pemain gantian.
Bagaimanapun dia tidak menghasilkan sebarang gol.
“Kami tidak mempamerkan keupayaan untuk menembusi lawan,” kata beliau dipetik BBC.
“Dengan adanya Robin dalam pasukan, sememangnya kita mahu menggunakan kebolehannya di bahagian tengah dan belakang, tetapi kita tidak menggunakan kebolehan itu dengan sebaik mungkin,” kata Ferguson lagi.
Ferguson menurunkan Wayne Rooney dan Danny Welbeck di bahagian depan. Pada minit ke-68, van Persie pula diturunkan untuk kemunculan sulungnya beraksi dengan kelab itu.
Beliau mengakui pasukannya gagal untuk berdepan dengan keupayaan Toffees dan Fellaini.
Tambah beliau, mereka merupakan pemain yang hebat dan berkebolehan.
Ferguson juga berhadapan dengan masalah kecederaan dialami Rio Ferdinand, Chris Smalling, Phil Jones dan Jonny Evans tetapi tiada masalah dengan prestasi Carrick bersama Nemanja Vidic, yang bermain di bahagian pertahanan tengah.
“Bahagian tengah dan belakang mempunyai beberapa masalah tetapi kita dapat atasi dengan agak baik, saya tidak fikir anda patut mengkritik prestasi mereka dalam hal itu.
“Sukar untuk menanganinya lebih-lebih lagi jika mereka menanduk bola,” katanya.
Analisis BBC juga menyebut bahawa penjaga gol, David de Gea telah beraksi dengan cemerlang pada separuh masa pertama.
“Kami merupakan sebuah pasukan yang terbaik, De Gea berjaya menghalang lapan serangan dan ia merupakan prestasi yang harus dipuji.
“Selain itu, kami pemain yang bagus dan bermain dalam kombinasi yang baik, kami akan menang dalam perlawanan seterusnya,” kata Ferguson lagi.