Syarikat Driven Communications Sdn Bhd menafikan bahawa ia adalah pemilik blog portal berita hiburan ‘Oh Bulan!’ yang didakwa memfitnah bekas isteri penyanyi Hattan, Noorfarashikin Othman.
Driven Communications selaku defendan berkata, tindakannya memfailkan pernyataan pembelaan itu dibuat tanpa memprejudiskan haknya untuk memfailkan permohonan bagi membatalkan writ saman dan pernyataan tuntutan dikemukakan oleh Noorfarashikin (plaintif).
Pada 3 Julai lalu, Noorfarashikin, 32, memfailkan saman itu di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi melalui Tetuan Ranjit Singh & Yeoh. Sementara itu ketika ditemui media, peguam, Nizam Bashir yang mewakili Noorfarashikin memberitahu, dia sudah memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi bahawa pihaknya akan mendapatkan arahan lanjut daripada anak guamnya dan berkemungkinan akan memfailkan jawapan terhadap pernyataan pembelaan itu.
Menurutnya, mahkamah kemudian menetapkan pengurusan kes itu pada 10 September ini. Dalam pernyataan tuntutannya, Noorfarashikin antara lain memohon ganti rugi am berjumlah RM1 juta, ganti rugi khas, teruk, teladan dan lain-lain relif difikirkan wajar oleh mahkamah.
Plaintif mendakwa pada awal Januari lalu, defendan menyiarkan artikel dan imej di laman web mereka iaitu www.ohbulan.com memberi maksud antara lain dia adalah seorang yang curang dan tidak boleh dipercayai.
Noorfarashikin mendakwa, hasil penyiaran artikel itu menyebabkan reputasi peribadi dan profesionalnya tercemar, selain sedih dan malu atas tuduhan itu.
Noorfarashikin adalah bekas isteri Hattan atau Datuk Mohd Shukri Shahabudin dan mereka berkahwin pada 11 November 2011 di Seri Menanti, Negeri Sembilan.
Bagaimanapun, perkahwinan mereka hanya bertahan dua bulan apabila Hattan melafazkan cerai talak satu di mahkamah rendah syariah pada 19 Januari lalu.