Gambar ngeri seorang kanak-kanak terbelah pipi akibat terkena libasan parang selepas ibu bapanya bergaduh yang didakwa berlaku di Sungai Petani adalah tidak benar.
Kejadian yang ‘viral’ di laman sosial Facebook dan aplikasi Whatsapp hari ini berlaku di luar negara, namun tidak dapat dipastikan di mana.
Di Thailand dan Laos ada laman sosial dan laman web di negara berkenaan memuat naik gambar sama dan ulasan diberi juga sama, tetapi senjata digunakan dikatakan pisau, namun tiada tempat yang tepat dinyatakan.
Sementara itu, Jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda menafikan kes terbabit berlaku di Sungai Petani kerana hasil pemeriksaan, polis tidak menerima sebarang laporan daripada mana-mana pihak termasuk hospital.
“Jadi tiada kes seumpama itu berlaku di Sungai Petani dan orang ramai dinasihatkan agar tidak mempercayainya kerana laporan tidak tepat,” katanya.
Katanya, tindakan individu yang menyebarkan gambar kanak-kanak berkenaan dan didakwa berlaku di Sungai Petani adalah perbuatan tidak bertanggungjawab.