Seorang remaja dijatuhkan hukuman penjara selama 18 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini setelah didapati bersalah menyebabkan kematian seorang remaja perempuan berusia 14 tahun, dua tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Dr. Choo Kah Sing menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd. Firdaus Mohd. Faridul, 20, setelah meneliti hujah daripada pihak pendakwaan dan pembelaan.
Mengikut pertuduhan, Mohd. Firdaus didakwa menyebabkan kematian Noor Syafikah Nadia Abdullah, 14, di kawasan bendang terbiar di Kampung Alor Senibong, Mukim Tajar di sini antara pukul 9.30 malam dan 11.30 malam pada 29 November 2013.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda.