Quantcast
Channel: Wowberita
Viewing all articles
Browse latest Browse all 4997

Harga Rumah Di Malaysia Naik RM30,000 Setahun

$
0
0

Harga purata rumah di negara ini meningkat sebanyak RM30,000 daripada RM266,304 pada 2013 kepada RM295,345 sebuah pada akhir tahun lalu, menurut Laporan Pasaran Harta 2014.

Menurut laporan yang dikeluarkan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta itu, hampir 250,000 transaksi pembelian rumah dilakukan sepanjang tahun lalu yang bernilai RM82.06 bilion.

Timbalan Menteri Kewangan II, Datuk Chua Tee Yong berkata, walaupun harga rumah sepanjang 2014 meningkat, namun kadar peningkatannya lebih perlahan berbanding beberapa tahun sebe­lumnya.

“Ini adalah hasil beberapa langkah yang diambil kerajaan dalam usaha membendung spekulasi harga rumah. Peningkatan harga tidak boleh dielakkan, namun pe­ningkatan itu dapat dikawal dengan baik,” katanya pada majlis pelancaran Laporan Pasaran Harta 2014 di Kajang, dekat sini hari ini.

Berdasarkan laporan tersebut lagi, harga purata rumah di Malaysia juga mencatatkan penurunan pada suku keempat 2014 apabila harganya mencecah RM295,345 sebuah berbanding pada suku ketiga 2014 iaitu RM296,042 sebuah.

Sepanjang 2014, transaksi dan nilai pembelian hartanah jenis kediaman menguasai lebih separuh daripada keseluruhan transaksi dan nilai pembelian pasaran hartanah di Malaysia.

Mengenai cabaran industri yang sering dibangkitkan oleh pemaju-pemaju hartanah ekoran langkah kerajaan memperkenalkan pelbagai peraturan baharu pembelian rumah, Tee Yong berkata, hal itu perlu bagi mengawal hutang isi rumah negara serta membendung aktiviti spekulasi harga rumah.

Antara langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan seperti me­ningkatkan harga rumah minimum yang boleh dibeli oleh warga asing kepada RM1 juta, meningkatkan cukai keuntungan hartanah (RPGT), mengawal nisbah pinjaman perumahan serta pemansuhan skim tanggungan kadar faedah oleh pemaju (DIBS).

Dalam pada itu, Tee Yong juga berkata, jangkaan akan lebih banyak transaksi pembelian rumah pada suku pertama 2015 menje­lang pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) tidak berlaku berdasarkan rekod transaksi yang dikumpul.

Ujar beliau, kadar transaksi pembelian rumah pada suku pertama 2015 mencatatkan penurunan kira-kira empat hingga enam peratus berbanding suku pertama dan suku terakhir 2014. Maklumat rasmi mengenai prestasi hartanah suku pertama 2015 akan diumumkan kelak, katanya lagi.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 4997