Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek hari ini mengumumkan bahawa kos pakej jalur lebar asas akan menunjukkan pengurangan yang ketara.
“Pengurangan harga pakej jalur lebar asas adalah untuk kedua-dua perkhidmatan mudah alih dan tetap,” kata Shabery selepas mesyuarat mingguan Kabinet.
Menurut Menteri, pakej mudah alih akan ditawarkan pada harga RM25. Pengguna yang melanggan pakej ini akan menikmati data bulanan sebanyak 1GB dan sekurang-kurangnya 3G-HSPA untuk kedua-dua perkhidmatan prabayar dan pasca bayar.
Pengurangan ini dianggarkan 14% lebih rendah daripada harga semasa.
Bagi perkhidmatan tetap, Telekom Malaysia (TM) tidak lama lagi akan menawarkan pakej jalur lebar asas pada harga RM38 sebulan untuk 1Mbps penggunaan data percuma sehingga 1GB.
Harga terbaharu ini adalah 57% lebih rendah daripada harga semasa iaitu RM88 untuk pakej asas.
“Pengurangan ini sangat positif bagi pengguna dan saya mengucapkan terima kasih kepada pembekal komunikasi kerana memperkenal pakej yang berbaloi dengan harga.
“Adalah penting untuk semua pihak turut serta dalam arus perdana digital dan mengambil bahagian dalam ekonomi digital dan internet,” kata Shabery.
Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM memuji langkah Kerajaan untuk memacu penggunaan jalur lebar melalui pakej jalur lebar yang mampu dimiliki.
“Sebagai peneraju usaha ke arah penumpuan industri di negara ini (Malaysia’s Convergence Champion), kami terus komited dalam peranan untuk menyediakan akses internet jalur lebar untuk semua rakyat Malaysia.
“Kami sudah mempunyai pelbagai pakej mampu milik yang paling komprehensif untuk semua segmen pelanggan di seluruh negara, dan kami akan terus meneroka peluang-peluang lain untuk memberi tawaran nilai tambah.
“Ini selari dengan aspirasi kami untuk merealisasikan gaya hidup digital bersepadu dengan pengalaman pelanggan yang lebih baik dan serba lancar melangkaui teknologi, produk, perkhidmatan dan peranti; bertepatan dengan moto kami – “Kehidupan dan Perniagaan Dipermudah.”
“TIME berbesar hati menyokong inisiatif ini dan akan menawarkan pakej RM38 seumpamanya untuk perkhidmatan jalur lebar tetap,” kata Ketua Pegawai Eksekutif TIME dotCOM, Afzal Abdul Rahim.
Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata, Datuk Seri Shazalli Ramly, menyatakan sokongannya terhadap Menteri untuk memastikan rakyat lebih terhubung.
“Kami menyahut saranan Menteri untuk mengurangkan caj perkhidmatan jalur lebar untuk menggalakkan penggunaan internet yang lebih besar dalam kalangan masyarakat.
“Celcom komited ke arah memperjuangkan keperluan rakyat untuk mendapat akses kepada teknologi terkini dan memastikan bahawa rakyat terhubung dengan jalur lebar yang mampu dimiliki dan kelajuan internet yang pantas.
“Lanjutan daripada itu, pelanggan boleh menikmati pakej baharu dengan harga yang berpatutan dalam beberapa minggu yang akan datang dan terus menikmati pengalaman pelanggan yang terbaik yang ditawarkan oleh Celcom,” kata Shazalli.
Shabery juga menyatakan bahawa penghasilan jalur lebar yang mampu dimiliki untuk kedua-dua perkhidmatan mudah alih dan tetap akan membolehkan rakyat untuk berhubung dengan lebih mudah. Ini penting dalam usaha Malaysia membangun ke arah sebuah negara digital.
“Apabila dunia menjadi lebih digital, adalah penting bagi setiap rakyat Malaysia mempunyai peluang yang sama untuk mengakses internet,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Digi, Albern Murty.
“Kami menyedari keperluan untuk rancangan tahap kemasukan yang betul bagi mempercepatkan penerimaan dalam kalangan rakyat Malaysia dari semua lapisan masyarakat.
“Oleh itu, Digi menyokong seruan Menteri untuk akses yang lebih mudah kepada perkhidmatan internet, dan komited untuk untuk menyampaikan janji kami iaitu ‘Internet Untuk Semua’ secara cepat yang berlandaskan prinsip yang sama iaitu akses yang berpatutan untuk jalur lebar dan perkhidmatan internet mudah alih. ”
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Morten Lundal juga menambah pendapat dari sudut lain. “Kami menyedari bahawa jalur lebar tidak hanya diakses melalui PC dan telefon pintar pasca bayar, tetapi juga melalui prabayar. Kami gembira untuk menyokong Kementerian untuk menghasilkan produk jalur lebar yang mampu dimiliki,” kata Morten.
Ketua Pegawai Eksekutif U Mobile, Wong Heang Tuck juga mengulas bahawa sentimen U Mobile adalah selaras dengan kehendak Kementerian dan MCMC.
“Syarikat kami mengakui keperluan untuk merapatkan jurang digital dan menyediakan sambungan
Internet dan akses yang lebih baik kepada rakyat pada kadar yang berpatutan, kerana ia akan memberi manfaat kepada negara dalam jangka masa panjang,” kata Wong.
Apabila ditanya mengenai rancangan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan, Shabery berkata MCMC dan Kementerian amat prihatin mengenai perkara ini.
Kualiti perkhidmatan adalah penting kerana negara ini sedang bergerak ke arah ekonomi yang berasaskan transaksi dan lebih ramai orang yang berurus niaga dengan Kerajaan dan perniagaan secara dalam talian.
Beliau menambah bahawa pelaburan yang konsisten dan mencukupi harus ada bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan.
“Purata global untuk intensiti modal adalah hampir 16%. Tahun lepas, industri telah mencapai lebih daripada 14% intensiti modal, di mana pencapaian ini amat memberangsangkan, dan mereka amat positif untuk melabur lebih lagi bagi mencapai atau mengatasi purata global dalam masa beberapa tahun lagi,” kata Menteri.
Pakej jalur lebar asas mudah alih yang baharu ini boleh didapati dengan serta-merta manakala pakej jalur lebar oleh TM dijangka dikeluarkan pada pertengahan Jun 2015.
“Dengan pelaksanaan GST ke atas perkhidmatan komunikasi termasuk kad tambah nilai prabayar, pengurangan kos untuk perkhidmatan mudah alih dan tetap pada 14% dan 57% akan mengimbangi GST yang berkaitan dengan perkhidmatan komunikasi,” kata Shabery.