Kerajaan akan mengumumkan kadar gaji pokok baharu bagi 3,072 kakitangan awam kumpulan Gred 11 yang menerima gaji antara RM823 hingga RM850 pada hujung tahun ini.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata, kumpulan gred terendah dalam perkhidmatan awam itu yang terdiri daripada mereka yang memasuki sektor awam melalui Penilaian Menengah Rendah (PMR), antaranya pembantu am rendah, pembantu operasi dan pemandu, berpendapatan keseluruhan termasuk gaji serta elaun antara RM1,257 hingga RM1,275.
Menurut Mohamad Zabidi, ia akan merupakan semakan keempat bagi Gred 11 setelah tiga kali semakan iaitu pada tahun 2002 dengan gaji minimum RM480, 2007 (RM649) dan 2013 (RM832).
“Kerajaan memang prihatin kumpulan yang mendapat gaji minimum rendah. Kerajaan sedang merancang untuk memberi kenaikan gaji kepada mereka dan dijangka umum pada hujung tahun ini.
“Kita sedang mengkaji secara menyeluruh pada satu tahap yang bersesuaian. Kita akan tengok pada keadaan semasa,” katanya.