Penyanyi Indonesia yang kini cukup popular dengan lagu Sakitnya Tuh Disini iaitu Cita Citata sebenarnya seorang janda muda yang hanya melalui bahagia perkahwinan selama sebulan akibat ditinggalkan suami.
Memetik laporan mStar online, gadis berusia 21 tahun ini berkata, dia sebelum ini tidak bercakap secara terbuka mengenai statusnya itu kerana ia tidak pernah ditanya oleh pihak media di negaranya, Indonesia.
“Apabila ditanya adakah saya sudah mempunyai teman lelaki sudah tentu saya jawab tidak.
“Soalan sama ada saya solo atau pun sudah berkahwin tidak pernah ditanya namun sekiranya ada pertanyaan, pasti saya akan jawab dengan jujur, saya seorang janda,” katanya.
Dalam pada itu, Cita memberitahu perkahwinannya dengan bekas suami itu terbongkar selepas lelaki berkenaan muncul memberi kenyataan kepada media meskipun sudah menghilangkan diri hampir tiga tahun.
“Saya berkahwin pada usia 18 tahun dan rumah tangga kami bertahan selama sebulan sebelum dia menghilangkan diri.
“Dia langsung tidak pernah menghubungi saya sejak itu untuk menyelesaikan kes perceraian kami di mahkamah syariah sehinggalah dia tiba-tiba muncul membuat kenyataan kepada pihak media tentang perkahwinan kami,” jelasnya.
Pun begitu dia menganggap kemunculan semula bekas suaminya itu sebagai rahmat kerana perceraian mereka akhirnya dapat disahkan oleh mahkamah.
Saya tidak pernah menyesal berkahwin muda dan diceraikan kerana kejadian itu meninggalkan banyak hikmah kepada saya terutamanya tentang karier saya.
“Jika bukan kerana diceraikan saya tidak dapat kekuatan untuk berhijrah ke Jakarta dan berada pada tahap sekarang,” ujarnya.