Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan menafikan dakwaan kononnya pucuk pimpinan Umno Malaysia telah mengeluarkan arahan bagi menghalang dirinya bercakap mengenai isu cukai barang dan perkhidmatan (GST) di sepanjang kempen pilihanraya kecil (PRK) Permatang Pauh.
Menurut Ahmad perkara itu sengaja digembar-gemburkan oleh pembangkang bagi menghalangnya dari terus memberi penerangan berhubung GST,
“Tidak ada (sebarang arahan dari UMNO)… mereka (pembangkang) takut dengan saya… (saya) akan terus bercakap pasal GST.
“Kalau saya tak cakap pasal GST pembangkang akan menang, sebab saya telah mendalami isu ini dan saya telah menjadi juru cakap GST sejak 2013″ katanya ketika sidang media di Pusat Media Permatang Pauh sebentar tadi.
Sementara itu awal pagi tadi, Pengarah Pilihan Raya PKR, Datuk Saifuddin Nasution turut mencabar Perdana Menteri untuk tidak menghantar Ahmad ke Permatang Pauh bagi menjelaskan berkenaan GST.
Saifuddin meminta Najib sendiri turun ke kawasan terbabit bagi memberi penerangan dan juga penjelasan mengenai kebaikan GST kepada rakyat secara langsung.
Menurut Ketua Penerangan UMNO itu, sekiranya ikut garis panduan GST yang ditetapkan dipatuhi oleh para peniaga harga barang sepatutnya.
“Bukan salah GST, tetapi peniaga yang tidak mengikut SOP, setakat ini saya tidak ada tersalah cakap tentang GST, yang ada ialah mereka tersalah faham apa yang saya cakap dan tak percaya apa yang saya cakap.
“Saya tidak akan berhenti bercakap. Saya akan banyak guna media elektronik seperti radio dan televisyen untuk menjelaskan berkenaan GST” katanya lagi.
Portal Astro Awani sebelum ini melaporkan Ahmad telah diberi amaran untuk tidak terlalu menekankan isu GST kerana dikhuatiri bakal mengurangkan majoriti Barisan Nasional.