Malang nasib seorang pembantu rumah berusia 22 tahun yang didera dan ditinggalkan di dalam hutan sendirian tanpa makan dan minum berhampiran perkampungan Orang Asli di Ulu Yam, Hulu Selangor.
Sehari selepas itu, majikan pembantu rumah berkenaan ditahan polis dan sudah diheret ke mahkamah untuk berdepan empat pertuduhan.
Bagi pertuduhan pertama, pasangan suami isteri itu, Shahrul Azyrin Ahmad, 30, dan Zulaikha Nordin, 26, dituduh mendatangkan cedera parah terhadap pembantu rumah mereka menggunakan batang besi dan rotan!
Tapi kedua-duanya mengaku tidak bersalah.
Pertuduhan kedua, hahrul Azyrin, pegawai Imigresen dan isterinya suri rumah didakwa memperdagangkan wanita itu dengan mengunakan kekerasan iaitu memukulnya menggunakan alat sama (batang besi dan rotan) di tempat dan masa yang sama.
Sabit kesalahan mereka, pasangan ini boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan bagi setiap pertuduhan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Zulia Balqish Syed Agil tidak menawarkan jaminan atas alasan kesalahan itu tidak boleh dijamin kerana ia serius melibatkan penjara maksimum 20 tahun.
Tetapi kemudiannya, hakim membenarkan masing-masing diikat jamin RM14,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan itu serta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran dua kali sebulan dan pasport perlu diserahkan kepada mahkamah.
Tidak habis dengan itu, mereka dibawa ke Mahkamah Majistret untuk pertuduhan mengambil pekerja yang tidak memiliki permit sah mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/1963 dan dituduh menyimpan pasport wanita itu tanpa milik sah mengikut Seksyen 12 Akta Pasport.
Sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 12 bulan atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya.