Sekumpulan Pemuda Pas dikatakan telah ditumbuk oleh jentera petugas Angkatan Muda Keadilan (AMK) di Kampung Permatang Pasir dalam satu kejadiaan awal pagi tadi.
Menurut sumber kejadian yang berlaku pada pukul 2.00 pagi itu berpunca daripada rasa tidak puas hati petugas pilihanraya AMK terhadap 5 orang pemuda PAS yang dikatakan sedang mengedarkan risalah di sekitar kawasan tersebut.
Risalah HududSelain mengedarkan risalah kumpulan Pemuda Pas itu turut di dakwa memasang kain rentang yang memaparkan amanat allahyarham Ustaz Fadzil Noor (bekas Presiden PAS) mengenai hukum menentang hudud.
Menurut sumber itu juga, 10 orang pemuda AMK yang berada di tempat kejadian telah bertindak menghalang perbuatan tersebut sehingga berlaku pergaduhan mulut antara mereka.
“Kumpulan Pemuda PAS itu telah ditangkap dan pukul oleh sekumpulan pemuda PKR di Kg Permatang Pasir.
“Ada diantara mereka (Pemuda Pas) telah ditumbuk sebelum petugas unit Amal PAS dan pihak Polis campur tangan” ujar sumber tersebut yang enggan mendedahkan identitinya.
Menurutnya mangsa kemudianya dibawa masuk ke dalam markas Pas bagi mengelakkan sebarang kemungkinan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, ACP Rusli Mohd Noor ketika dihubungi SuaraTV berkata pihaknya masih belum mendapat sebarang maklumat berhubung kejadian tersebut.
“Sehingga kini pihak polis masih belum mendapat maklumat berhubung kejadian tersebut dan tiada sebarang laporan polis yang dibuat” ujarnya ringkas kepada SuaraTV sebentar tadi.
Semalam sekumpulan anggota dan penyokong Pas di kawasan Permatang Pauh mengugut akan melakukan memprotes secara senyap terhadap calon PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh 7 Mei ini.
Menurut Ketua Penerangan Pas kawasan Bagan, Azmi Jaafar dan Timbalan Yang Dipertua Pas Bagan, Mohd. Yusuf Khazali mereka di Permatang Pauh tidak akan keluar mengundi, dan sekiranya ke pusat pengundian, mereka akan merosakkan undi itu.
“Lebih 10,000 anggota dan penyokong Pas yang juga pemilih di Parlimen Permatang Pauh tidak akan mengundi individu yang biadab dan menghina ketua kami (Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang) serta agama Islam. Untuk apa kami pangkah PKR, mereka tidak akan menyokong hudud di Parlimen.
“Kalau ada orang (Pas) yang keluar mengundi, mereka akan rosakkan undi. Jangan main-main, ini adalah amaran kepada PKR dan Wan Azizah,”katanya ketika mengadakan perhimpunan di hadapan Masjid Batu, Kampung Pertama, Jumaat.
Pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon BN Suhaimi Sabudin, Wan Azizah, Azman Shah Othman (Parti Rakyat Malaysia) dan Salleh Isahak (Bebas).
Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai wakil rakyat selepas Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon Anwar melalui anggota keluarganya.
Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan pengundian pada 7 Mei ini.