Seorang warga emas yang bertarung nyawa hampir setengah jam merangkak keluar dari rumah untuk mendapatkan bantuan selepas ditikam, namun malang dia meninggal dunia berdekatan pintu rumah selepas pembunuh membakar kediamannya di Kampung Rantau Panjang, Lanchang, pagi semalam.
Dalam kejadian jam 3.40 pagi itu, Ali Jaafar, 74, yang bekerja sebagai penjual madu mati akibat cedera di leher serta melecur di badan dan paha kiri manakala paha kanan hingga ke kaki rentung.
Kejadian disedari jirannya selepas melihat api marak membakar bumbung rumah serta sebuah bilik lalu menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat serta BaIai Polis Lanchang.
Difahamkan, sepasukan anggota bomba yang memeriksa rumah selepas memadam api, menemui mayat mangsa berlumuran darah di leher di depan pintu sebelum menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh.
Ketua Polis Daerah Temerloh Asisten Komisioner Aziz Salleh berkata, sepasukan anggota polis bergegas ke tempat kejadian dan menemui mayat mangsa telentang di depan pintu rumah dengan beberapa kesan tikaman di leher manakala dahi mangsa dipercayai dihentak dengan objek tumpul.