Tiada seorang pemimpin yang lebih baik selain Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam membantu pembangunan masyarakat Sabah.
Perbandingan itu dibuat oleh Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kajian Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan yang berkata tidak ada pemimpin terdahulu atau sekarang yang dapat menandingi rekod terbaik Najib.
Katanya, ia merujuk kepada bantuan pembangunan yang diberikan Najib kepada rakyat Sabah.
“Tiada pemimpin, terdahulu dan sekarang yang mempunyai rekod kerja lebih baik daripada Najib dalam membantu pembangunan dan rakyat Sabah.
“Tiada,” katanya melalui laman Twitternya.
Semalam, Ahli Parlimen Kota Belud itu menyifatkan Najib sebagai perdana menteri yang banyak membawa pembangunan dan pembaharuan di Sabah.
Katanya, Najib begitu peka dan prihatin terhadap keperluan dan kehendak rakyat di negeri ini setiap kali pemimpin nombor satu negara itu mengadakan lawatan ke negeri ini.
“Mengapa kita (rakyat di Sabah) dapat banyak projek? Kerana perdana menteri suka mendengar suara dan suka merasakan denyut nadi rakyat khususnya di Sabah.
“Beliau datang ke Sabah, pergi ke kawasan luar bandar untuk merasai apa kehendak dan keperluan penduduk di kawasan berkenaan. Bukan sekadar datang melihat tetapi datang untuk membawa pembaharuan dan pembangunan,” katanya dalam ucapan pada majlis pelancaran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Belud oleh Najib di sini hari ini.
Abdul Rahman, yang juga Setiausaha Barisan Nasional (BN) Sabah berkata, pembangunan mapan yang berlaku semasa pentadbiran Najib bukan sahaja menerusi program PPR yang sememangnya dekat di hati beliau, malah merangkumi pelbagai aspek termasuk dalam meningkatkan sumber ekonomi negeri dan pendapatan rakyat.
“Misalnya, projek Ammonia Urea Sabah (Samur) di Sipitang, Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT) di Kimanis, Perjanjian Gas Asli Cecair (LNG) Bintulu dan projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo,” katanya.
Selain itu, Abdul Rahman berkata Najib berani membuat keputusan terhadap permasalahan yang sekian lama dihadapi rakyat di negeri ini, meskipun isu-isu tersebut telah lama dibangkit kepada pemimpin-pemimpin terdahulu.
“Apabila pemimpin lain tidak lagi menjadi pemimpin, kita (rakyat Sabah) dibebani dengan masalah pendatang asing tanpa izin.
“Perdana menteri pula terpaksa berhadapan dengan isu ini dan maka itulah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai PATI di Sabah diwujudkan,” katanya.
Abdul Rahman juga memuji inisiatif Najib dalam mencapai perdamaian di selatan Filipina “supaya kita (rakyat di Sabah) tidak dibebani penghijrahan warga asing dari Filipina.”
Selain itu, beliau turut memuji tindakan pantas perdana menteri dalam mewujudkan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) bagi mempertahankan kedaulatan dan maruah rakyat di Sabah.