Selain Lembaga Tabung Haji (TH), Permodalan Nasional Berhad (PNB) juga terlibat ‘meminjamkan’ wang kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dakwa Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.
Katanya, ‘pinjaman’ itu diberikan PNB kepada 1MDB menerusi pembelian sukuk berjumlah RM579.2 juta yang diterbitkan dalam Februari 2014.
“Terbitan hutang melalui bon sukuk oleh 1MDB ini melibatkan pembelian sukuk oleh dua agensi pelaburan kerajaan iaitu Tabung Haji dan PNB.
“Ini bermakna, sejumlah RM920.8 juta dipinjamkan oleh Tabung Haji kepada 1MDB. Baki RM579.2 juta dipinjamkan oleh PNB kepada 1MDB.
“Sukuk ini tidak disenaraikan dan tidak didagangkan secara aktif di pasaran bon. Ia adalah kertas hutang yang dirundingkan secara terus di antara 1MDB dengan TH dan PNB,” kata Rafizi pada sidang media di ibu pejabat PKR di sini, hari ini.
Ahli Parlimen Pandan itu berkata, oleh kerana sukuk itu tidak disenaraikan, ia tidak ditarafkan seperti mana-mana kertas lain.
“Hutang RM1.5 bilion ini dijamin dengan cagaran tanah Bandar Malaysia (yang diberikan oleh Putrajaya kepada 1MDB) dan janji kutipan sewa di Bandar Malaysia (apabila siap), dan akan digunakan untuk membayar hutang RM1.5 bilion ini,” katanya lagi.
Rafizi yang juga Setiausaha Agung PKR berkata semakan beliau menunjukkan 1MDB merancang menerbitkan sehingga RM2.5 bilion sukuk bagi membiayai pembangunan Bandar Malaysia.
“Di samping itu, hutang sebanyak RM 2 bilion yang diperoleh daripada Ambank juga bagi tujuan pembangunan Bandar Malaysia,” katanya.
Katanya, sehingga hari ini Bandar Malaysia belum memperlihatkan kemajuan meyakinkan yang boleh mendatangkan keuntungan dan membantu 1MDB membayar balik hutang kepada Tabung Haji dan PNB.
“Soalan paling besar, apa yang terjadi kepada RM3.5 bilion (RM1.5 bilion daripada sukuk pinjaman Tabung Haji dan PNB, dan RM2 bilion pinjaman Ambank), yang dipinjamkan setakat ini kononnya untuk membangunkan Bandar Malaysia?” soal beliau.