Desakan supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan adalah tindakan sia-sia, kata Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Beliau juta menganggap desakan itu sebagai perbuatan memalukan kerana Najib dipilih menerusi sistem demokrasi.
“Sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi, Najib perlu meneruskan tugasnya sebagai Perdana Menteri kerana beliau dipilih menerusi sistem yang adil.
“Beliau tidak sepatutnya tunduk kepada desakan dan beliau seharusnya diberi peluang untuk menyelesaikan masalah yang dihadapinya,” katanya yang dilaporkan berkata demikian di Kuala Terengganu.
Hadi turut bersetuju dengan kenyataan Najib yang tidak akan meletak jawatan selagi mendapat sokongan dan mandat daripada rakyat.
“Saya bersetuju dengan beliau (Najib) tidak perlu meletak jawatan. Saya mesti katakan bahawa beliau seharusnya diberikan peluang untuk menghabiskan penggalnya,” katanya.
Tambah Hadi, desakan untuk Perdana Menteri meletak jawatan adalah perkara biasa dan turut berlaku kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.
“Ini bukan perkara baharu. Sebelum 1MDB, kita juga berhadapan dengan masalah Perwaja (Steel Sdn Bhd) dan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), sekadar menyebut beberapa nama,” katanya.