Quantcast
Channel: Wowberita
Viewing all articles
Browse latest Browse all 4997

Peniaga Dilarang Guna Iklan ‘GST Kami Tanggung’– Kastam

$
0
0

Iklan promosi atau slogan seperti “GST Kami Tanggung” atau “Harga Tak Naik GST Kami Bayar” yang digunakan peniaga untuk menarik pelanggan adalah menyalahi undang-undang.

Pengarah Bahagian GST Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Subromaniam Tholasy berkata, iklan atau slogan itu bertentangan dengan peruntukan Seksyen 9 Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

“GST adalah cukai kepenggunaan dan perlu dikenakan apabila barang atau perkhidmatan berkenaan dijual atau diberikan,” katanya, lapor Berita Harian.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan peniaga supaya menghentikan iklan atau slogan itu bagi tujuan promosi.

Subromaniam juga berkata, pihaknya juga mengesan 20 peratus atau kira-kira 1,000 daripada 5,000 penyata GST yang dihantar peniaga kepada JKDM berisiko dikenakan tindakan undang-undang.

Katanya, statistik itu diperolehi hasil semakan pihaknya melalui sistem MyGST yang merekodkan penyata peniaga yang telah dihantar bermula 1 Mei lalu.

Beliau berkata, antara kesalahan yang mungkin dilakukan termasuk kurang bayar GST, terlebih menuntut cukai input serta penipuan cukai.

Katanya, sistem MyGST mampu mengesan penipuan yang dilakukan peniaga dan pegawai Bahagian Pematuhan Audit GST sudah digerakkan untuk mengaudit syarikat yang dikenal pasti.

“Mana-mana peniaga yang merasakan ada melakukan kesalahan dalam penyata GST yang sudah dihantar kepada JKDM, mereka diminta membuat pembetulan secepat mungkin.

“Sistem MyGST dapat mengesan sama ada kesalahan itu dilakukan dengan sengaja atau tidak,” katanya.
Katanya, peniaga yang bersalah boleh didakwa mengikut Seksyen 88 Akta GST 2014.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 4997