“Cara berpakaian tidak menggambarkan peribadi seseorang itu.” Itu kenyataan pengacara dan personaliti TV popular, Nadia Shahrul Annuar, 31, di laman sosial Instagram miliknya.
Beberapa minit yang lalu, pengacara program bual bicara popular stesen televisyen swasta ini memuat naik sekeping gambarnya yang menunjukkan dia bergaya seperti diatas bot.
Apa yang mencuri tumpuan ialah pemakaian bekas pengacara Wanita Hari Ini (WHI) yang kelihatan agak seksi iaitu memakai baju mandi ‘one piece’ sambil mengenakan kemeja putih jarang yang jelas menampakkan susuk tubuhnya.
Pada gambar tersebut, Nadia yang akan menyambut ulang tahun kelahirannya esok, menulis kapsyen:
“Untuk menjadi seorang yang baik tidak hanya bersandarkan pada agama, warna kulit, status, bangsa, pandangan politik mahupun cara seseorang itu berpakaian.
“Sebaliknya, terletak pada hati seseorang itu dan cara bagaimana sikap individu itu sendiri apabila berdepan dengan orang lain.”
Status yang dimuat naik itu mendapat pelbagai reaksi daripada pengikutnya. Ada yang memuji kecantikan Nadia yang juga merupakan anak kepada pengasas kosmetik terkenal ini.
Namun, ada berpandangan aksi Nadia itu agak berani memandangkan dia seorang figura umum dan dikenali ramai yang boleh mencetuskan persepsi negatif orang ramai.