“Tiba-tiba dia (Umar Rayyan Suhaimi) datang peluk dan cium saya berkali-kali. Memang dia tak pernah buat macam itu sebelum ini.
“Lepas itu dia cakap, Bye-bye ibu. I love you.
Itu kata-kata terakhirnya sebelum menaiki kereta bersama bapa saudaranya, meninggalkan saya, bukan untuk sehari dua… tetapi selama-lamanya,” cerita Zainab Wangai, 34, mengenai Umar Rayyan, 6, anak tunggalnya yang meninggal selepas terlibat dalam kemalangan ngeri.
Umar Rayyan merupakan antara empat yang rentung dalam satu kemalangan melibatkan sebuah lori dan kereta di Kilometer 386.6 Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Ajil dekat sini petang semalam.
Turut maut dalam kemalangan tersebut ialah bapa saudaranya, Ahmad Razi Harun, 53, yang juga pemandu kereta itu serta menantu dan cucu kepada Ahmad Razi iaitu Dayang Suhana, 23, dan Nur Damia Irdiha Rosailan, setahun.
Kakak kepada Zainab yang juga isteri Ahmad Razi iaitu Sharifah, 49, dan seorang lagi kakak mereka, Hafshah, 56, turut mengalami kecederaan walaupun berjaya keluar daripada kereta tersebut sebelum kejadian.
Kedua-duanya terpaksa dirawat di hospital dan Hafshah yang mengalami kecederaan parah di kepala disahkan meninggal dunia hari ini ketika sedang mendapatkan rawatan.
Kemalangan dikatakan berpunca apabila sebuah lori dikatakan terbabas dan merempuh kereta mereka yang diletakkan di bahu jalan akibat rosak sebelum kereta itu terseret sejauh 70 meter dan kedua-dua kenderaan itu terbakar.
Zainab yang ditemui di Hospital Hulu Terengganu di sini malam tadi berkata, dia sepatutnya turut menghadiri majlis konvokesyen anak saudaranya di Politeknik Muadzam Shah Pahang, namun tidak dapat berbuat demikian kerana cutinya tidak diluluskan.
“Masa kejadian itu berlaku, saya berada di pejabat dan sedang bersiap-siap untuk solat Asar.
“Berita itu benar-benar mengejutkan kerana baru beberapa jam sebelum kejadian, saya ada telefon salah seorang daripada kakak saya untuk bercakap dengan Umar (Rayyan) tapi tak boleh sebab dia sedang tidur masa itu,” katanya yang menetap di Kampung Kadok, Kota Bharu, Kelantan.
Jelas Zainab, dia merelakan pemergian Umar Rayyan ke majlis konvokesyen sepupu kanak-kanak itu iaitu Nor Syalia Ahmad Razi, 23, biarpun tanpa kehadirannya kerana hubungan mereka yang akrab.
“Nor Syalia dulu pernah tinggal bersama kami dan dia yang hantar SMS (khidmat pesanan ringkas) sendiri minta supaya Umar dibawa sekali ke majlis konvokesyennya,” katanya.