Selepas isu ‘viral’ membabitkan sebuah restoran nasi kandar terkenal di Bukit Jambul baru-baru ini berhubung lima biji bendi didakwa dijual dengan harga RM20, satu lagi kekecohan timbul di laman sosial membabitkan restoran sama tetapi cawangannya di Petaling Jaya, Selangor.
Menerusi satu resit pembelian yang tersebar di laman sosial Facebook hari ini menunjukkan harga yang dikenakan ke atas roti tisu di restoran tersebut didakwa berharga RM11.
Berdasarkan resit pembelian tersebut, kejadian berlaku pada 23 Mei lalu sekitar jam 10 pagi yang mana pada hari yang sama insiden membabitkan lima biji bendi yang dicaj berharga RM20 di Bukit Jambul.
Bagaimanapun, media hari ini melaporkan kejadian membabitkan bendi yang dikenakan caj RM20 adalah kesilapan teknikal.
Terdahulu, Timbalan Ketua Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pulau Pinang, Chin Ching Chung, menyatakan notis membabitkan insiden bendi telah dikeluarkan ketika pemeriksaan di restoran berkenaan pada jam 11 pagi tadi.