Ribuan umat Islam dari Umno dan PAS berhimpun di Kuala Lumpur hari ini kerana membantah filem Innocence of Islam yang menghina Nabi Muhammad SAW dan mencetuskan demonstrasi anti-Amerika di seluruh dunia.
Naib presiden PAS, Salahuddin Ayub mengetuai demonstrasi ‘Xpresi Hijau Kasih Nabi SAW’ anjuran Pemuda PAS selepas solat Jumaat di Masjid Tabung Haji di Jalan Tun Razak, sebelum kira-kira 5,000 orang berarak ke kedutaan AS dekat situ.
Sementara itu, protes anjuran Umno pula diketuai oleh Ketua Pemudanya, Khairy Jamaluddin yang berlangsung di Masjid Kampung Baru yang disertai kira-kira 3,000 orang.
Kedua-dua protes tersebut turut disokong oleh pertubuhan Islam dan pelbagai NGO.
Google telah menyekat akses terhadap klip filem tersebut kepada pengguna di Malaysia.
Sementara itu, Khairy yang juga Ketua Pemuda BN, menggesa PAS meninggalkan Pakatan Rakyat kerana mendakwa DAP tidak menunjukkan perpaduan dalam membantah filem Innocence of Islam dan karikatur yang menghina Nabi Muhammad.
Khairy berkata, beliau turut membawa ramai penyokong BN yang pelbagai kaum dari MCA dan MIC untuk menyertai bantahan tersebut.
“Bagaimanapun, (MP Beruas Datuk) Ngeh Koo Ham berkata ini (protes) buang masa,” katanya.
Katanya, mereka bersama-sama dengan saudara-saudara dari PAS membuat bantahan tersebut kerana ia tiada kaitan dengan politik, tetapi kerana filem itu menghina Islam dan Nabi Muhammad.
“Kami akan lakukan perkara yang sama jika ini berlaku kepada agama lain,” katanya.