Gempa bumi sederhana berukuran 6.0 pada skala Richter dilaporkan berlaku berhampiran Kota Kinabalu, Sabah, kira-kira jam 7.15 pagi tadi.
Menurut laman web Pusat Seismologi Eropah Meditarrenean gempa bumi sedalam 40km itu berpusat di 14km utara Ranau, 67km timur Kota Kinabalu dan 229km timur laut Bandar Seri Begawan, Brunei.
Laporan awal Jabatan Meteorologi Malaysia menyatakan gempa bumi itu berukuran 5.9 skala Richter 16km barat daya Ranau pada 7.17 pagi.
Selain Kota Kinabalu, gegaran turut dirasakan di bahagian utara daerah Kudat dan Kota Marudu, malah di daerah sejauh Beaufort di selatan Sabah.
Gegaran yang melanda menyebabkan beberapa bangunan rosak dan tingkap pecah menyebabkan orang ramai berlari keluar dari rumah dan kedai.
Keadaan sama berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.
Polis Ranau turut mengesahkan kerosakan berlaku di saluran paip air di ibu pejabat polis dan tingkap pecah di beberapa premis perniagaan akibat gegaran gempa bumi itu.
Pusat Gempa Bumi dan Tsunami Nasional melaporkan tiada gegaran susulan setakat sehingga jam 9.30 pagi tadi.
Bernama turut melaporkan penduduk berkata gegaran gempa bumi di Ranau turut dirasai di sekitar Tenom tetapi aktiviti harian berjalan seperti biasa.
Menurut Taman Negara Sabah, semua aktiviti mendaki Gunung Kinabalu dibatalkan atas faktor keselamatan.