Harapan untuk menyaksikan buat pertama kalinya wakil negara beraksi pada pentas separuh akhir Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) berkecai apabila Kelantan terpaksa akur dengan kehebatan Arbil SC pada saingan suku akhir kedua di Kota Bharu semalam.
Pada perlawanan malam tadi Kelan- tan mencatat keputusan seri 1-1 namun, secara agregatnya, anak-anak buah Bojan Hodak tewas dengan 2-6 selepas mereka dimalukan 1-5 pada perlawanan pertama di Stadium Franso Harisi, Iraq minggu lepas.
Sebaik wisel permulaan dibunyikan, Kelantan memulakan asakan untuk mencari gol awal dalam misi mereka mendapatkan empat gol bagi memadam kelebihan yang dimiliki Arbil pada perlawanan pertama di Iraq tempoh hari.
Peluang terbaik The Red Warriors hadir pada minit ke-23 melalui penyerang pinjaman mereka, Afiq Azmi namun, kematangan nyata membataskan sentuhan penyudah pemain tersebut yang gagal menolak masuk hantaran lintang Norshahrul Idlan Talaha.
Selang empat minit kemudian, pemain sayap, Norfarhan Muhamad hampir menggamatkan Stadium Sultan Muhammed IV apabila rembatan kencang daripada luar kotak penalti berjaya menewaskan penjaga gol Arbil SC, Jalal Hassan Hachim, namun hanya singgah di palang gol.
Ketika Kelantan meneruskan siri serangan untuk memecah kubu pertahanan lawan, serangan pantas Arbil SC akhirnya membuka tirai jaringan apabila penyerang mereka Sula Motovu berjaya melepasi perangkap ofsaid sebelum memperdayakan Khairul Fahmi Che Mat untuk gol pertama pada minit ke-37.
Separuh masa kedua menyaksikan Kelantan terus menggandakan asakan untuk mencari sekurang-kurangnya gol penyamaan selepas jurulatih, Bojan Hodak memasukkan dua tonggak utama, Muhammad Ghaddar dan Nurul Azuan Roya.
Muhammad Ghaddar memiliki peluang terbaik pada minit ke-80 apabila menerima bola daripada sepakan percuma Indra Putra Mahayuddin.
Bagaimanapun, rembatan yang dilepaskannya berjaya ditepis penjaga gol sebelum rembatan susulan Norfarhan hanya menemui sisi jaring gol.
Tiga minit kemudian, Muhammad Ghaddar memiliki peluang kedua selepas berjaya memperdaya dua pemain pertahanan Arbil SC, namun rembatannya sekali lagi dinafikan oleh Jalal Hassan Hachim.
Usaha Muhammad Ghaddar akhirnya membuahkan hasil apabila pengadil perlawanan memberikan sepakan penalti selepas dia dijatuhkan dalam kotak penalti.
Dia berjaya menghadiahkan gol sagu hati kepada Kelantan pada masa kecederaan perlawanan.
Keputusan seri tersebut menyaksi- kan rekod kebal Kelantan di laman sendiri musim ini terus utuh manakala Arbil SC akan menanti lawan mereka di separuh akhir antara Al-Shorta (Syria) atau pun Chonburi FC dari Thailand.