Sejumlah 135 jenazah dipercayai korban pesawat Hercules di Medan, Indonesia berjaya dikeluarkan dari lokasi nahas dan dibawa ke hospital pada Rabu.
Jenazah mangsa akan segera dikenal pasti untuk diserahkan kepada keluarga, lapor detik.com.
“Sudah ada 135 mayat dari lokasi nahas dibawa ke sini,” kata petugas hospital sepertimana dipetik portal tersebut.
Terdahulu, setakat jam 11 malam tadi, sejumlah 91 mangsa korban pesawat tentera Hercules C-130 yang terhempas pada Selasa telah ditemui.
Daripada jumlah itu, sebanyak 23 jenazah telah dikenal pasti melalui teg nama pada pakaian mangsa.
Kesemua mangsa yang ditemui dibawa ke Hospital Adam Malik, lapor portal kompas.com.
Pesawat yang membawa 113 penumpang itu terhempas pada jam 11:38 pagi dipercayai kerana mengalami kerosakan pada enjin.
Pesawat Hercules C-130 A1310 milik TNI terhempas di Jalan Letjen Jamin Ginting, Padang Bulan di sini setelah dua minit berlepas dari Pangkalan Udara Soewondo, Kota Medan.
Pesawat yang sepatutnya menuju ke Pangkalan Udara Tanjung Pinang, Kepulauan Riau itu terhempas di atas rumah awam dan kedai termasuk sebuah pusat spa yang terkenal di kawasan itu.