Ahli Parlimen DAP Klang, Charles Santiago hari ini memperlekehkan ulasan presiden PAS, Abdul Hadi Awang yang meminta saksi dikemukakan bersabit tuduhan ke atas Perdana Menteri, Najib Razak.
Beliau dalam penulisannya yang disiarkan di sebuah portal berita ‘online’ menyatakan undang-undang Islam tidak terpakai dalam hal tersebut dan menyifatkan permintaan Hadi Awang (mengemukakan saksi) sebagai sebuah jenaka bodoh.
“Apa yang dapat membuatkan Hadi faham yang suratkhabar tidak terikat dengan undang-undang syariah?”
Beliau kemudiannya mengingatkan semula krisis Menteri Besar Selangor di mana dua ADUN PAS menandatangani surat sokongan ke atas Presiden PKR, Wan Azizah Wan Ismail di mana Hadi ketika itu yang terbawa-bawa dengan kemarahannya menuduh dua ADUN berkenaan telah ‘dibeli’ oleh pihak-pihak tertentu.
“Apakah Hadi mendapatkan saksi sebelum membuat tuduhan ke atas ahli partinya sendiri?” soal Charles di dalam kenyataannya.
Menurut Charles, kenyataan Hadi menimbulkan satu persoalan yang sangat besar. Beliau tertanya-tanya adakah ulasan Hadi meminta saksi dikemukakan bagi pertuduhan ke atas Najib kerana ikhlas bagi mendapatkan sebuah kebenaran. Atau sebenarnya sedang mempertahankan Najib bagi mendapatkan imbuhan?