Sebuah sindiket penipuan Black Money yang mencari mangsa melalui Facebook berjaya ditumpaskan selepas dua dalang utama sindiket berkenaan dicekup di sebuah rumah di Desa Petaling, Kuala Lumpur.
Kedua-dua suspek berusia 32 dan 46 tahun itu dipercayai aktif sejak September tahun lalu membabitkan kerugian lebih RM50,000.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, hasil maklumat daripada seorang ahli perniagaan wanita yang berasal dari Indonesia sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Cheras menyerbu sebuah rumah dan mencekup kedua-dua suspek bersama 4,896 keping wang palsu USD.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek masing-masing berasal dari Britain dan Guinea itu akan membuat demonstrasi mencuci black money menggunakan wang asli bagi meyakinkan mangsa sebelum menyerahkan wang palsu dalam urusan seterusnya.
Kedua-dua suspek ditahan reman hingga 21 Ogos depan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, katanya di sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, hari ini.