Empat sahabat yang membuat persiapan pulang ke kampung untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri minggu lalu tidak menduga kata-kata daripada seorang rakan serumah mereka yang dikenali sebagai Farid, “No raya on this year. Work until die” kini menjadi kenyataan.
Mayat Farid ditemui semalam, setelah tiga atau empat hari tinggal bersendirian di rumah sewa itu kerana tidak mendapat cuti.
Kejadian itu disedari seorang rakan mangsa bernama Herman yang menghubungi salah seorang daripada empat sahabat itu bertanyakan Farid kerana beliau telah membuat panggilan beberapa kali menerusi telefon bimbit mangsa namun tidak dijawab.
Curiga dengan keadaan rakannya itu, Herman pergi ke rumah sewa di Serdang dan terkejut melihat mayat Farid terbujur di atas tilam serta sudah berbau.
“Tragedi ini mengejutkan aku dan semua rakan rumah bujang aku. Dalam perjalanan dari Dungun ke Kuala Lumpur aku mendapat panggilan telefon dari seorang rakan se rumah iaitu Herman yang bertanyakan Farid kerana tidak dapat dihubungi sejak malam raya pertama sehingga semalam.
“Paling mengejutkan apabila ada bau busuk dari rumah sewa itu. Mujurlah bilik Farid berada paling hadapan, lalu Herman membuka tingkap bilik dan melihat sebujur mayat di atas tilam,” kata seorang lagi rakan serumah arwah bernama Ammar.
Ketika itu juga Herman membuat laporan polis dan sepasukan anggota polis memecah pintu rumah itu untuk melihat keadaan Farid.
Mayat Farid kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Serdang untuk bedah siasat dan sumber memberitahu, kemungkinan mangsa meninggal dunia tiga atau empat hari lalu.
Menurut Ammar, Allahyarham Farid tidak dapat pulang ke kampung kerana terpaksa bekerja pada hari raya.
“Tidak disangka tragedi ini berlaku di rumah bujang aku. Masih teringat kali terakhir arwah Farid berjasa kepada aku membelikan panadol ketika aku demam panas.
“Dialah sahabatku yang sangat baik. Dia rakan serumah, dia rakan sekelas, dia rakan seasrama, dia rakan sebelajar dan rakan semasa susah dan senang. Semoga rohnya tenang di sana. Semoga ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman,” luah Ammar.
“Arwah seakan-akan tahu akan meninggal dunia. Sungguh mengejutkan. Kemungkinan dia meninggal dunia pada malam raya. Mungkin meninggal dunia semasa tidur berdasarkan keadaannya yang baring di atas tilam siap berselimut,” katanya.