Ketua Pemuda PAS Terengganu, Wan Mohd Faizul Wan Abas di dalam sebuah kenyataan dalam laman Facebook peribadinya hari ini menzahirkan kekecewaan di atas penerimaan perlantikan oleh Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Raja Dato’ Kamarul Bahrin Shah, sebagai Pengerusi Gerakan Harapan Baru negeri Terengganu.
Beliau memuatnaik sekeping gambar yang menunjukkan Raja Bahrin sedang menandatangani apa yang didakwanya sebagai bai’ah kesetiaan kepada PAS di hadapan Hadi Awang beserta sebuah status yang menggambarkan penyesalan.
Faizul yang mendakwa dirinya hadir sewaktu upacara bai’ah Calon P036 Parlimen Kuala Terengganu mengegaskan upacara tersebut bukanlah satu upacara ‘main-main’. Seperti menyelar tindakan Raja Bahrin, Faizul mengingatkan sesiapa yang melanggar bai’ah akan dilaknat oleh Allah.
Parti politik yang sebelum ini kontroversi dengan slogan “Undi BN Masuk Neraka”, dan doa “KO BN” yang dialunkan oleh Nik Razi Nik Mat kali ini menjatuhkan laknat ke atas bekas ahlinya sendiri kerana beralih arah dalam perjuangan politik.
PAS dalam suatu kenyataan awal pagi tadi memutuskan untuk tidak lagi memberi sebarang kerjasama politik dengan Ahli Parlimen Kuala Terengganu. Keputusan ini dibuat kerana Raja Bahrin dikatakan telah melanggar perjanjian untuk taat kepada parti dan menjalin kerjasama dengan Gerakan Harapan Baru.