Mayat mereput yang dijumpai di Kuala Air Kepala dekat Sungai Pergau, Jeli, Khamis lalu adalah milik Ketua Muslimat PAS Batu Melintang dan dipercayai adalah mangsa bunuh.
Bedah siasat yang dijalankan ke atas mayat mangsa mendapati ada kesan hirisan di bahagian tangan dan kaki.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kelantan, ACP Ahmad Taufek Abdullah, dalam kenyataannya memberitahu hasil siasatan yang dijalankan pihaknya berjaya menahan seorang suspek berusia 32 tahun yang mempunyai talian persaudaraan dengan mangsa.
Katanya, suspek ditahan 7.30 malam Jumaat lalu dan kini direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut.
Sebelum ini mangsa, Rudziah Shafiee, 50, yang juga guru mengaji dikatakan hilang sejak Selasa lalu sebelum mayatnya ditemui dalam keadaan terlentang dan sudah reput di tepi sungai.
Sehubungan itu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi membolehkan siasatan terperinci dilakukan.
Mangsa yang tinggal sendirian di Kampung Batu Melintang, di sini, itu dijumpai dekat Kuala Air Kepal, Sungai Pergau oleh seorang penjala ikan.
Siasatan polis mendapati, mangsa dipercayai meninggal dunia sejak kehilangannya Selasa lalu berdasarkan keadaan mayat yang sudah mereput.
Sementara itu, abang mangsa, Abu Hassan, 55, ketika dihubungi memaklumkan jenazah adiknya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Dendung, Batu Melintang, Jumaat lalu.
Dalam perkembangan sama, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob yang menziarahi keluarga mangsa semalam melahirkan rasa sedih berikutan mangsa adalah seorang wanita yang tidak berdaya selain dia juga adalah Ketua Muslimat PAS Cawangan Batu Melintang.
Beliau berkata disebabkan perkara seperti inilah kerajaan negeri ingin merealisasikan Kanun Jenayah Syariah (KJS) kerana kita ingin membendung gejala jenayah yang semakin menular.
“Biar rakyat merasa gerun kepada hukum islam… Kanun Jenayah Syariah ini ialah rahmat Allah dan tuhan bagi rahmat dengan laksanakan undang undang Islam..apabila kita laksana undang-undang Allah, maka Allah turunkan rahmatNya.
“Tetapi apabila kita tiada usaha untuk mendaulatkan undang undang Allah, maka Allah akan tunjuk kepada kita gejala yang dahsyat berlaku dan tiada undang undang yang mampu menyelesaikannya,” katanya.
Ahmad berkata beliau berharap pihak polis dapat membuat siasatan yang rapi supaya pihak yang tidak bertanggungjawab dapat diambil tindakan sewajarnya dan dibawa kemuka pengadilan.