Bapa saudara kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin iaitu Tengku Sri Paduka Raja Tengku Ibrahim mengumumkan dirinya keluar dari PAS.
Menurut laporan Malaysiakini, tindakan tersebut diambil beliau setelah tidak berpuas hati dengan keputusan Muktamar Tahunan PAS yang dibuat Jun lalu apabila menyaksikan ia menyingkirkan golongan profesional.
Ujarnya lanjut, selepas keputusan diumumkan, pergolakan mula timbul dalam kepimpinan PAS sehingga mengakibatkan hala tuju perjuangannya tidak lagi kondusif untuk beliau terus kekal dalam parti Islam itu.
Selain itu, Tengku Ibrahim turut menolak andaian bahawa keputusan tersebut diambil setelah PAS kawasan Kuala Terengganu bertindak memutuskan hubungan dengan anak saudaranya yang juga Ahli Parlimen kawasan berkenaan, Datuk Raja Bahrin.
Katanya, keputusan keluar PAS sudahpun difikirkan sebelum ini lagi.