Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan dakwaan bahawa isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor mencampuri urusan dan hal ehwal kerajaan.
Najib berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai saman fitnahnya terhadap Ahli Parlimen DAP, Nga Kor Ming yang mendakwa Rosmah menyertai mesyuarat jemaah menteri, hari ini.
“Kami sedang berbincang di Beijing, bersama dua tiga menteri dan duta, sebab (ketika itu) saya dalam lawatan rasmi ke China. Waktu itu kemangkatan Sultan Azlan Shah.
“Nak bincang sama ada boleh balik atau tidak, adalah isteri saya di situ. Bukan soal negara,” katanya.
Isu yang dibangkitkan oleh Nga Kor Ming itu adalah tidak benar dan bersifat fitnah. Ekoran itu, Najib mengambil tindakan tegas dengan menyaman Ahli Parlimen DAP berkenaan.
“Isteri saya terlibat dalam pentadbiran negara, (itu) tak betul,” kata Najib lagi.