Tidak sampai setahun digunakan Pusat Akuatik Kompleks Sukan Negeri Perlis, Kangar sudah dilihat seperti ‘kolam ikan’.
Puluhan juta ringgit dilaburkan pihak kerajaan demi pembangunan sukan untuk negeri itu hanyalah sia-sia apabila pusat akuatik yang didakwa hanya sempat digunakan bagi Sukan Malaysia (Sukma) edisi ke-17 pada Mei tahun lalu itu kini terbiar begitu saja.
Melihat kepada keadaan kolam renang itu amatlah menyedihkan dengan air kolam berkeladak dan berlumut serta keadaan persekitaran yang kotor.
Menurut seorang penduduk tempatan yang enggan dikenali mendakwa, pusat akuatik itu sudah lama tidak digunakan tanpa sebarang penyelenggaraan.
“Pusat akuatik ini sudah terbiar agak lama. Apa yang saya tahu pusat akuatik ini tidak siap sepenuhnya tapi kontraktor tidak mahu sambung projek ini. Lepas SUKMA tahun lalu tempat ini ditinggalkan begitu saja tanpa sebarang penyelenggaraan.
“Pada saya, ini sesuatu yang merugikan buat semua orang khususnya atlet dan penduduk sekitar yang mahu menggunakan pusat akuatik ini sama ada untuk tujuan latihan mahupun riadah.
“Buat apa mahu belanjakan berjuta-juta ringgit bina pusat akuatik ini jika akhirnya dibiarkan seperti ini. Ini sesuatu yang merugikan dan memalukan,” katanya kepada Arena Metro semalam.
Ibarat projek ‘Gajah Putih’, Pusat Akuatik Kompleks Sukan Negeri Perlis ini sebenarnya sudah mengundang kontroversi sebelum ini apabila gagal disiapkan mengikut jadual sehingga pertandingan bagi sukan akuatik SUKMA Perlis terpaksa ditunda sehari.
Bukan itu saja, sebahagian besar bumbung kanvas pusat akuatik itu terkoyak dan jatuh ke dalam kolam renang selepas lebih kurang 10 minit hujan.
Kerajaan menanggung perbelanjaan sebanyak RM120 juta bagi penganjuran SUKMA Perlis dengan RM70 juta daripada kos itu digunakan untuk pembangunan infrastruktur termasuk pembinaan pusat akuatik itu.